PETALING JAYA: Perkhidmatan penerbangan ke Malaysia menunjukkan pertumbuhan kukuh pada 2025 dengan 169,877 penerbangan antarabangsa dan lebih 34.2 juta tempat duduk penerbangan ditawarkan sepanjang tahun.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkembangan
perkhidmatan udara merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada rekod
ketibaan pelawat antarabangsa Malaysia pada 2025
“Kesalinghubungan udara yang kukuh dan boleh dipercayai merupakan tulang belakang pelancongan Malaysia.
“Pertumbuhan dalam penerbangan antarabangsa dan tempat duduk ke Malaysia telah memainkan peranan penting dalam menyokong lonjakan pelawat antarabangsa yang kami lihat tahun lepas,” katanya dalam kenyatan Laporan Kemajuan Kerja 2025 hari ini.
Tambah King Sing, pada tahun 2025 Malaysia telah menambah 59 laluan berjadual
baharu dan 30 laluan sewaan (charter), yang menghubungkan 23 negara dan wilayah ke
11 lapangan terbang di seluruh negara.
Katanya, negara China telah menyumbang bahagian terbesar perkhidmatan baharu dengan 18 laluan berjadual dan 20 laluan sewaan baharu, menghubungkan 23 bandar di negara itu ke lapangan terbang Malaysia.
“Indonesia pula menambah 10 laluan berjadual baharu, manakala Singapura mencatat lima laluan berjadual baharu dan dua perkhidmatan sewaan ke Malaysia,” katanya.
King Sing turut menekankan bahawa laluan baharu udara ke Malaysia pada 2025 memberi manfaat kepada 11 lapangan terbang di seluruh negara.
Selain itu, pada 2025 sebanyak 92 syarikat penerbangan mengendalikan 498 penerbangan antarabangsa terus ke Malaysia.
“Keseluruhan jumlah syarikat terdiri daripada 86 syarikat asing dan enam syarikat penerbangan tempatan, menyediakan 169,877 penerbangan dan 34,203,168 tempat duduk sepanjang tahun,” katanya.
King Sing berkata, sebanyak 104 laluan dengan lebih 100,000 tempat duduk ditawarkan sepanjang tahun iaitu sebanyak 93 laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Manakala, sembilan laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan satu laluan masing-masing dihubungkan ke lapangan terbang di Kuching dan Ipoh.
“Saya ingin menekankan bahawa laluan yang menyediakan lebih 100,000 tempat duduk ke Malaysia menghubungkan sebahagian besar bandar utama di Asia Tenggara ke lapangan terbang di negara ini, termasuk KLIA (38 laluan), Pulau Pinang (lapan laluan) dan Ipoh (satu laluan).
“Keseluruhannya, sebanyak 47 laluan beroperasi secara konsisten, termasuk empat laluan utama yang menawarkan lebih 500,000 tempat duduk setiap satu pada tahun 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan serantau,” katanya.










