Perang Iran berlarutan hingga September

Perang Iran berlarutan hingga September

ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran akibat serangan udara Israel di kawasan kejiranan Al-Kafaat, selatan Beirut, Lubnan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konflik di Asia Barat dijangka tidak akan reda dalam masa terdekat apabila Rumah Putih membayangkan perang antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel berlarutan sehingga September ini.

Ia dikuatkan lagi dengan ugutan Iran yang menyasarkan serangan terhadap 15 syarikat milik AS di negara Teluk dan menggesa para pekerja mengosongkan lokasi-lokasi tersebut.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara AS, Israel dan Iran terus memuncak dengan operasi ketenteraan yang masih berterusan sejak 28 Februari lalu.

Malah Iran menegaskan bahawa Teheran akan mempertahankan negara itu daripada sebarang serangan luar, sekali gus memberi konflik berkenaan berpotensi menjadi lebih panjang dan kompleks.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih berkata, sekatan Iran terhadap laluan Selat Hormuz menyebabkan Presiden AS, Donald Trump meneliti semula strategi perang terhadap Iran dengan menambah kekuatan aset dan serangan terhadap Teheran.

Menurutnya, Trump dilaporkan semakin yakin dengan keupayaan untuk melemahkan kepimpinan Iran susulan beberapa kejayaan ketenteraan sebelum ini, termasuk operasi terhadap sasaran strategik di rantau lain.

“Beliau terlalu yakin dengan keupayaannya sendiri,” katanya kepada media AS, Axios.

Sebelum ini, perang itu dijangka berlarutan selama empat minggu apabila Trump bertekad untuk mencapai semua objektif Washington dalam misi ketenteraan yang dilancarkannya bersama Israel.

Ketegangan yang berlarutan itu turut mencetuskan kebimbangan global termasuk gangguan terhadap bekalan tenaga dan kestabilan serantau, selain risiko peningkatan kos ekonomi dunia.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee memberi amaran bahawa hab kewangan Asia itu, bersama negara lain di rantau ini bakal berdepan kejutan dan ketidaktentuan susulan gangguan bekalan minyak dan kenaikan harga komoditi tersebut.

Dalam pada itu, Pengawal Revolusi Republik Islam Iran (IRGC) mengugut untuk menyerang 15 syarikat AS di negara Teluk dan menyeru para pekerja untuk mengosongkan lokasi-lokasi tersebut.

Antara disenaraikan termasuk syarikat pertahanan dan teknologi seperti Lockheed Martin yang beroperasi di Pejabat Perhubungan Tentera di Amman, Jordan selain Microsoft di Taman Perniagaan Amman dan Bandar Internet Dubai.

Turut tersenarai ialah Oracle yang berpusat di Daerah Kewangan Abdalit, Amman; ExxonMobil di Pejabat Tenaga Amman serta Citigroup dan Amazon Web Services yang masing-masing beroperasi di Taman Perniagaan Amman dan Abdali Boulevard di Amman.

IRGC memberi amaran bahawa syarikat-syarikat itu berpotensi berada dalam radar bahaya dengan serangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kami memberi amaran kepada rejim Amerika untuk mengosongkan semua industri Amerika di rantau ini termasuk yang tinggal berhampiran,” kata IRGC dalam kenyataan.

Langkah ini berlaku ketika pegawai Iran didakwa cuba menghubungi semula Utusan Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff berhubung konflik itu, namun Trump dikatakan tidak berminat untuk berunding dengan Teheran.

Bagaimanapun Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menafikan sebarang hubungan dengan Witkoff dan komunikasi terakhir antara mereka berlaku sebelum tercetusnya konflik.

Araghchi berkata hubungan terakhir itu berlaku sebelum majikan Witkoff mematikan diplomasi melalui serangan ketenteraan yang disifatkannya sebagai tidak sah terhadap Iran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN