IPOH: Negeri Perak menerusi Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) merekodkan kutipan zakat RM272.07 juta bagi tahun 2025 meningkat RM19.95 juta berbanding RM252.12 juta pada tahun 2024.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, Perbelanjaan zakat bagi tahun 2025 adalah RM261.54 juta, meningkat hampir RM60 juta berbanding RM203.33 juta pada tahun 2024.
“Bantuan Kewangan Bulanan merupakan skim dengan peruntukan terbesar melibatkan agihan RM70.60 juta dengan jumlah 14,576 penerima bantuan,” katanya sempena Persidangan MAIPk kali ke-235 bilangan 1/2026 di sini hari ini.
Tambah beliau, MAIPk membelanjakan RM16.44 juta membabitkan 640 penerima dalam aspek kesihatan melalui bantuan Hemodialisis.
Bantuan perubatan disalurkan sebanyak RM7.18 juta bagi membantu 839 asnaf menampung kos rawatan dan ubat-ubatan.
Selain itu, bantuan yang turut diberikan ialah Skim Bantuan Bina Rumah kepada 88 penerima berjumlah RM7.53 juta, agihan zakat sektor pendidikan berjumlah RM27.28 juta kepada 41,905 pelajar dan RM12.45 juta dibelanjalakan kepada 1,872 penerima bantuan teras ekonomi Pemerkasaan Asnaf.
Kata Mohd. Annuar lagi, permohonan bantuan zakat yang diterima meningkat iaitu pada tahun 2024 berjumlah 114,165 kepada 141,164 permohonan pada tahun 2025.
“MAIPk akan mengambil inisiatif baharu dengan melantik Amil Agihan sebagai langkah memperkukuh pengurusan dan penyampaian bantuan zakat kepada golongan asnaf,” katanya.
Katanya, Wakaf Tunai di bawah Waqaf Perak Al Ridzuan mencatatkan kutipan RM3.87 juta serta merekodkan seramai 742 orang pewakaf baharu.
Beliau juga berkata, tarikh kuat kuasa pelantikan baharu Anggota Jawatankuasa Kariah dan Anggota Jawatankuasa Pentadbiran bagi semua Masjid dan Surau Diri Jumaat Negeri Perak 2026-2029 bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029. – UTUSAN










