Perak muktamadkan perintah khidmat masyarakat Jun ini - Utusan Malaysia

Perak muktamadkan perintah khidmat masyarakat Jun ini

SANDREA Ng Shy Ching (dua dari kiri) merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Awam sempena Program Satelit PMR (Program Madani Rakyat) anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Aeon Mall Kinta City di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Perak akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, akta berkenaan akan diguna pakai selepas kerajaan negeri selesai memperhalusi pelbagai aspek termasuk penguatkuasaan dan kaedah pelaksanaannya.

“Kalau ikut di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kita ada enam bulan untuk selaraskan dari segi pelaksanaan.

“Kita masih dalam proses libat urus dan memperhalusi kaedah pelaksanaan sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Kesedaran Keselamatan Awam sempena Program Satelit PMR (Program Madani Rakyat) anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Aeon Mall Kinta City, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.

Mengulas lanjut beliau berkata, secara prinsip, kerajaan negeri bersetuju dengan pelaksanaan akta berkenaan seperti yang digariskan KPKT.

Bagaimanapun katanya, beberapa perkara perlu diperhalusi dari segi penguatkuasaan, pihak yang dipertanggungjawab dan kaedah yang akan diguna pakai.

“Kalau di bawah kerajaan negeri yang guna pakai Akta 672, ada jabatan khas untuk tindakan dan penguatkuasaan.

“Di Perak dan negeri lain yang belum menggunakan akta sama, kita perlu melalui sesi libat urus sebelum memuktamadkan kaedah pelaksanaannya.

“Dalam enam bulan yang pertama ini kita akan cuba selesaikannya,” katanya.

Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 dikuatkuasakan bermula 1 Jan lalu sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat dan jalan awam.

Selain Perak, empat negeri lain belum mengguna pakai akta berkenaan iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Selangor. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN