GOPENG: Pentadbir dibenarkan menutup sementara sekolah sekiranya cuaca panas mencapai tahap amaran dua, dengan suhu mencecah lebih 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah tersebut selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah dikuat kuasa sejak tahun 2023.
“Bagi pihak KPM, kita telah beri pesanan kepada kesemua pentadbir termasuk pengetua dan guru besar untuk sentiasa memantau suhu harian ketika cuaca panas, begitu juga dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Kita percaya, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PPD dan sekolah mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam menangani isu cuaca panas yang dihadapi sekarang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.
Menurut beliau, kesihatan anak-anak menjadi pertimbangan utama kementerian di mana satu garis panduan yang jelas disediakan membabitkan pengendalian dan aktiviti sekolah semasa musim panas.
“Sekiranya cuaca panas pada tahap amaran pertama, iaitu antara 35 sehingga 37 darjah Celcius untuk tiga hari berturut-turut, pentadbir hendaklah menghentikan semua aktiviti luar yang melibatkan murid atau guru.
“Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu ini seperti merentas desa, perkhemahan, kawat, sukan, permainan di luar bangunan dan pertanian,” katanya.
Sementara itu, mengulas gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) untuk KPM mewajibkan setiap pelajar membawa botol air ke sekolah ketika cuaca panas sekarang, Kah Woh berkata, pihaknya menyerahkan kepada sekolah untuk menilai langkah terbaik untuk pelajar.
“Di setiap sekolah, kita mempunyai pentadbiran yang efektif di mana pengetua dan guru besar lebih tahu mengenai langkah dan nasihat untuk pelajar dalam menghadapi cuaca panas.
“Pengetua dan guru besar akan memainkan peranan memberikan nasihat dari semasa ke semasa selain amalan minum air secukupnya sama ada ketika cuaca panas atau tidak, adalah norma yang perlu diterapkan untuk setiap orang,” katanya. – UTUSAN











