Pengurus syarikat didenda RM40,000 miliki 6,633 liter diesel tanpa lesen - Utusan Malaysia

Pengurus syarikat didenda RM40,000 miliki 6,633 liter diesel tanpa lesen

PENGURUS syarikat logistik dan pengangkutan, Yap Shao Pin didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 6,633 liter minyak diesel tanpa lesen, tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pengurus sebuah syarikat logistik dan pengangkutan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 6,633 liter minyak diesel tanpa lesen, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Yap Shao Pin, 31, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mahkamah turut memerintahkan agar wang jualan minyak diesel yang dirampas sebanyak RM17,909.90 dan empat lori tangki dilucuthak kepada kerajaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merupakan pengurus Syarikat T&L Supply Trading Sdn. Bhd. didapati telah ada dalam milikan barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 6,633 liter.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didapati telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di T&L Supply Trading Sdn. Bhd., Persiaran Rishah 14, Kawasan Perindustrian Silibin, Ipoh pada pukul 1 petang, 5 Januari 2023.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kedua atau kesalahan berulang didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Dahlia Tan.

Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN