PETALING JAYA: Pendaftaran bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara kontrak perkhidmatan (CoS) akan mula dibuka jam 2 petang hari ini.
Permohonan boleh dibuat sehingga 20 Mac 2026 menerusi pautan rasmi https://mypdpp.moe.gov.my/PDPP26/index.cfm
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan pembukaan 20,000 jawatan baharu PPP Gred DG9 secara CoS bagi penempatan di sekolah rendah seluruh negara.
Kementerian itu memaklumkan permohonan terbuka kepada graduan bukan pendidikan yang merupakan warganegara Malaysia serta memiliki kepujian dalam Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM).
“Hanya calon yang layak akan dipanggil menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) dan menghadiri temu duga. Calon yang berjaya diwajibkan mengikuti latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan pembiayaan sendiri sepanjang tempoh kontrak,” menurut kenyataan itu.
Pada Januari lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata pengambilan berkenaan adalah sebahagian persediaan awal kementerian bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Beliau berkata, inisiatif itu juga bertujuan membuat persediaan terhadap pelaksanaan pendaftaran secara sukarela kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula tahun hadapan.-UTUSAN










