Kelamai dibakar seperti lemang, rupa seakan dodol - Utusan Malaysia

Kelamai dibakar seperti lemang, rupa seakan dodol

MOHD. Sharizan Borhan menunjukkan kelamai yang dijual di Gopeng, Perak.– UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Kelamai, makanan tradisi masyarakat Rawa di daerah ini menjadi pilihan setiap kali Ramadan dengan jualannya terus meningkat menjelang Aidilfitri.

Kuih tradisional itu seakan-akan dodol dari segi warna dan teksturnya yang kehitaman serta kenyal.

Cara penyediaannya lebih unik apabila adunan dimasukkan ke dalam buluh sebelum dibakar, sama seperti lemang.

Kelamai diperbuat daripada beras pulut yang dikisar, gula merah, santan, kerisik, tahi minyak dan gula putih. Semua ramuan tersebut perlu diadun dan diperam selama tiga hari sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk proses pembakaran.

Menariknya, kelamai mampu bertahan sehingga enam bulan jika disimpan dengan baik.

Pengusaha kelamai, Mohd. Sharizan Borhan, 39, berkata, juadah berkenaan merupakan hidangan wajib masyarakat Melayu Rawa di Gopeng dan hanya terdapat di kawasan ini.

Menurutnya, proses menghasilkan kelamai agak rumit, terutama penyediaan buluh dan kawalan api ketika membakar yang mengambil masa antara lapan hingga sembilan jam.

“Kelamai sudah menjadi makanan tradisi masyarakat Melayu Rawa di Gopeng dan hanya individu tertentu sahaja mampu menghasilkan kelamai asli mengikut resepi turun-temurun.

“Juadah istimewa ini kini menjadi kegemaran pelbagai kaum yang sanggup datang ke Gopeng setiap kali musim perayaan untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui.

Menurut Mohd. Sharizan, jualan kelamai meningkat setiap kali Aidilfitri dan dia yang mengusahakan perniagaan itu bersama ibu serta isterinya telah menerima tempahan awal bagi sambutan hari raya tahun ini.

Katanya, dia mula menjual kelamai beberapa hari sebelum Ramadan dan permintaan me­nunjukkan peningkatan ketara.

“Saya menjual kelamai pada Jumaat, Sabtu dan Ahad de­ngan purata 60 batang. Sepanjang Ramadan, ada pelanggan yang menjadikannya sebagai juadah berbuka puasa.

“Kelamai dijual pada harga RM27, RM30 dan RM35 sebatang bergantung kepada saiz buluh,” katanya.

Mengimbau Syawal tahun lalu, katanya, sebanyak 800 batang kelamai berjaya dijual, namun jumlah itu masih tidak mencukupi berikutan permin­taan tinggi.

“Bagi memastikan lebih ramai dapat menikmati kelamai, saya bercadang membakar antara 1,300 hingga 1,500 batang menjelang Aidilfitri tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×