GEORGE TOWN: Penangguhan tawaran kontrak bagi Pakej 2 Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara tidak menjejaskan kemajuan pelaksanaan projek secara keseluruhan kerana kerja-kerja utama di bawah Pakej 1 masih belum siap.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pakej 2 yang melibatkan pemasangan sistem rel, elektrik, isyarat dan tren hanya boleh dilaksanakan selepas kerja struktur asas serta stesen di bawah Pakej 1 disiapkan sepenuhnya.
Menurut beliau, oleh sebab itu, sebarang kelewatan berkaitan tawaran Pakej 2 tidak menjejaskan kemajuan kerja semasa projek tersebut.
“Pakej 2 hanya bermula selepas kerja-kerja struktur seperti tiang dan stesen disiapkan di bawah Pakej 1. Jadi, macam mana hendak pasang landasan kalau tiang pun belum naik? Dari segi penjadualan pula, ia tidak menimbulkan masalah kepada kemajuan projek pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal yang mendakwa bahawa berlaku kelewatan dalam proses tawaran Pakej 2 bagi projek berkenaan.
Kon Yeow berkata, jajaran projek yang melibatkan 12 stesen kekal seperti perancangan asal dan tidak mengalami sebarang perubahan setakat ini kerana koordinasi antara kontraktor untuk Pakej 1 dan Pakej 2 tetap diperlukan bagi memastikan spesifikasi teknikal projek dapat dipatuhi.
“Seperti yang dimaklumkan, kerja-kerja pemasangan rel, sistem isyarat dan elektrik di stesen hanya boleh dilakukan selepas semua kerja struktur dan pembinaan stesen selesai. Apabila Pakej 1 siap, maka, barulah kontraktor Pakej 2 akan mengambil alih kerja-kerja seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini kira-kira 23,000 orang telah mengunjungi reruai pameran projek LRT Laluan Mutiara, manakala 8,000 maklum balas rasmi telah diterima oleh MRT Corp. Bagaimanapun katanya, perincian maklum balas tersebut berada di bawah pengurusan MRT Corp. – UTUSAN









