GOMBAK: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai tahap kemajuan memberangsangkan sebanyak 92.62 peratus setakat Februari 2026, sekali gus berada di landasan tepat untuk memulakan operasi komersial fasa pertama pada Januari 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu diperkukuh dengan penyempurnaan pembinaan landasan sepanjang 519 kilometer (km) yang menghubungkan Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak.
“Kejayaan menyiapkan jajaran utama ini dalam tempoh dua tahun tiga bulan merupakan satu pencapaian besar bagi projek mega nasional ini.
“Kita kini menghampiri matlamat untuk menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyempurnaan landasan tersebut dan pemeteraian perjanjian Joint Lead Coordinator (JLC) di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) turut melakar sejarah sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) pertama di negara ini yang mewujudkan mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing tersusun bagi pembiayaan projek berskala besar.
Melalui kerjasama dengan lapan institusi perbankan tempatan dan antarabangsa, mekanisme itu akan menguruskan penyelesaian pinjaman ECRL dalam mata wang Renminbi (RMB) bagi mengurangkan pendedahan terhadap turun naik pasaran mata wang global.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kepastian kadar pertukaran, malah berpotensi menjadi penanda aras pengurusan kewangan bagi projek-projek infrastruktur negara pada masa hadapan,” tambah beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kemajuan fizikal projek itu turut didorong oleh penyiapan kesemua 41 terowong sepanjang 69km, pemasangan 12,000 tiang elektrik, serta ketibaan aset tren penumpang dan lokomotif kargo.
Lapan bank yang dilantik sebagai JLC ialah Maybank, CIMB, RHB, AmBank, Bank of China (BOC), United Overseas Bank (UOB), China Construction Bank (CCB), dan Industrial and Commercial Bank of China (ICBC).
Projek sepanjang 665km itu melibatkan kos keseluruhan RM50.27 bilion, di mana jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027 sebelum beroperasi sepenuhnya sebulan kemudian. –UTUSAN










