Pemandu treler rempuh tiga kenderaan disahkan positif dadah

Pemandu treler rempuh tiga kenderaan disahkan positif dadah

KEADAAN salah satu daripada tiga kenderaan yang dirempuh oleh sebuah treler dalam satu kemalangan di Kilometer 137.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara berhampiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang petang semalam.-GAMBAR/IHSAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA (JBPM) PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Polis mengesahkan bahawa pemandu treler yang memandu secara melulu sehingga merempuh tiga buah kenderaan di Kilometer 137.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara di sini, petang semalam, positif dadah jenis syabu atau methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pengesahan tersebut dibuat selepas satu ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lelaki berusia 28 tahun itu.

Helmi berkata, sehubungan itu, suspek yang juga seorang warga tempatan berusia 28 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Berdasarkan siasatan, treler yang dipandu oleh suspek dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Honda BR-V yang berada di lorong kanan dan mengheret kenderaan tersebut ke bahagian depan sehingga melanggar dua lagi kenderaan di hadapannya.

“Susulan daripada pelanggaran itu juga, sebuah kenderaan jenis Proton X50 turut terbalik dan terjunam ke dalam longkang di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas Helmi, akibat kemalangan tersebut, tiga orang mangsa yang menaiki Honda BR-V mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, kaki dan dada manakala lima mangsa lain pula mengalami kecederaan ringan.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera bagaimanapun telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dalam hal ini, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor S. Saravanan di talian 016-452 5105 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran,” ujar beliau.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3.15 petang semalam itu secara keseluruhannya melibatkan 12 orang mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Difahamkan, kemalangan yang sama turut menyebabkan berlakunya kesesakan luar biasa di kawasan tersebut iaitu hampir sepanjang sembilan kilometer (km).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN