Pemakaian korset dipertikai, Aisha Retno nafi tidak hormat tradisi - Utusan Malaysia

Pemakaian korset dipertikai, Aisha Retno nafi tidak hormat tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Aisha Retno tampil mempertahankan pilihan fesyennya selepas dikritik segelintir warga maya susulan penampilannya dalam video muzik lagu terbaharu, Jodoh Lebaran.

Jelas Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, pemakaian korset di luar kebaya yang dipakainya dalam video muzik tersebut bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah lama menjadi identiti gaya pemakaiannya sejak  berkecimpung dalam industri seni.

“Bertenang. Saya dengar dan faham apa yang anda maksudkan. Saya akan cuba perbaiki mengikut cita rasa fesyen anda pada masa hadapan.

“Tetapi jika saya diberi ruang untuk bersuara, gaya ini memang sudah menjadi identiti saya sejak awal lagi. Walaupun ada yang kata ia melanggar ‘norma’, saya rasa tidak salah untuk saya jelaskan kenapa saya berpakaian sebegitu dalam setiap majlis,” katanya menerusi hantaran balas di aplikasi Threads.

Tidak melatah dengan komen itu, penyanyi Sutera itu berkata, dakwaan tidak menghormati pakaian tradisional adalah tidak benar memandangkan konsep tersebut sepadan dengan  irama dan genre lagu tersebut.

“Untuk mengatakan ia nampak tidak menghormati tradisi, mungkin anda boleh bantu jelaskan dengan lebih mendalam apa sebenarnya yang dianggap tidak menghormati itu?

“Seperti yang anda lihat, lagu ini pada dasarnya berunsurkan irama Portugis-Joget Melaka,” jelasnya.

Terdahulu, tular  komen pengguna internet yang mengkritik tindakan Aisha mengenakan korset dalam video muzik Joget Lebaran yang dianggap tidak menghormati tradisi. Pakaian Aisha didakwa kelihatan seperti baju projek untuk sebuah program pencarian bakat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN