Pemain ragbi Terengganu sempat pujuk ibu sertai Cabaran ‘Moreh’ Tujuh Sebelah sebelum putus kaki

Pemain ragbi Terengganu sempat pujuk ibu sertai Cabaran ‘Moreh’ Tujuh Sebelah sebelum putus kaki

SAYYID Iskandar Mohamad Azaha ketika bersama ibunya semasa menyertai satu kejohanan ragbi baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Hasrat pemain skuad ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu untuk menyertai Cabaran ‘Moreh’ Tujuh Sebelah bermula Jumaat ini tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan menyebabkan kaki kanannya putus, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai–Chuchoh Puteri di sini, mangsa, Sayyid Iskandar Mohamad Azaha, 20, kehilangan kanan selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta.

Sejam sebelum kejadian, pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektrik di Kolej Vokasional (KV) Kuala Krai itu sempat memujuk ibunya, Nik Zurinawati Yusuf, 46, supaya membenarkan dia menyertai kejohanan tersebut.

Adiknya, Nurul Asyiqin, 18, berkata, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik sangat teruja untuk menyertai kejohanan berkenaan, namun hasratnya tidak dipersetujui ibu mereka  kerana berlangsung pada bulan Ramadan.

“Sejam sebelum kejadian, abang pujuk ibu kerana dia teringin sangat nak sertai cabaran itu. Selepas berbual, dia sempat bermain dengan adik bongsu sebelum keluar moreh bersama rakan-rakan.

“Malam itu abang tidak ke masjid untuk solat tarawih seperti kebiasaannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurul Asyiqin memberitahu, dia dan keluarga hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh jiran dan terus ke lokasi dari rumah di Bukit Acheh, Kampung Tengah.

Katanya, abangnya yang mengalami pendarahan teruk terpaksa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk rawatan lanjut.

“Abang menjalani pembedahan hampir enam jam selepas masuk ke bilik bedah sekitar pukul 11 malam. Selepas selesai pembedahan, dia terpaksa ditidurkan bagi meneruskan rawatan,” ujarnya.

Nurul Asyiqin berkata, bapanya mengambil masa selama dua jam untuk mencari kaki abangnya yang terputus itu di lokasi kejadian.

Katanya, walaupun ditemukan namun sukar untuk disambung kembali kerana kaki Sayyid Iskandar putus bermula dari bahagian pinggul.

Kejohanan dua hari yang bermula Jumaat itu berlangsung di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pelajar KV Kuala Krai putus kaki kanan selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta yang gagal memotong kenderaan lain di Jalan Batu Balai–Chuchuh Puteri, berhampiran Kampung Bechah Salak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk rawatan lanjut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN