PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi kini sedang memuktamadkan pelan tindakan dan pelan induk bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan akan dilancarkan pada 30 Mac ini di Johor Bahru, Johor
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelan tindakan itu adalah bagi rujukan umum manakala, pelan induk pula bagi rujukan semua pihak pelaksana.
“Setakat ini Kerajaan Negeri Johor akan turut bersama dan juga menteri daripada Singapura juga akan hadir,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (MyRMK) di sini hari ini.
JS-SEZ adalah inisiatif kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi, menarik pelaburan baharu serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan negara.
JS-SEZ menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030 dijangka mengubah landskap ekonomi Johor secara menyeluruh.
Zon ekonomi itu turut menyasarkan peralihan kepada ekonomi berteraskan inovasi yang lebih maju, selain sasaran mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. – UTUSAN










