PETALING JAYA: Polis akan mengemukakan permohonan reman terhadap pelakon wanita dan suaminya bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua mereka ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Untuk makluman, berkenaan pelakon dan suaminya telah ditangkap oleh BSJK IPD Dang Wangi berkaitan pelaburan dalam penjualan lembu.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pelakon wanita dan suami yang ditahan sebelum ini bagi kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia turut disiasat bagi kes penipuan darjah kebesaran membabitkan kerugian kira-kira RM23,000.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihak polis daerah itu menerima satu laporan berkenaan kes itu pada 18 Disember tahun lalu.
Sebelum ini, media turut melaporkan pelakon wanita itu ditahan di tempat persembunyian di sebuah madrasah tahfiz Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Rabu lalu.
Azahar dilaporkan berkata, ia susulan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun membuat laporan polis di daerah ini selepas dikatakan ditipu dalam urusan penjualan lot tanah kurnia di Selangor dengan kerugian mencecah RM1.5 juta. – UTUSAN










