KUALA LUMPUR: Seramai 12 pelajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terpaksa meneruskan sesi pembelajaran dalam keadaan serba kekurangan selepas bekalan elektrik di premis berkenaan dipotong kira-kira empat bulan lalu.
Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood berkata, ia berlaku susulan tunggakan bil elektrik yang tidak mampu dijelaskan oleh pihak pengurusan kerana akaun bank pusat tahfiz berkenaan masih dibekukan oleh mahkamah.
Katanya, bekalan elektrik di premis berkenaan itu terpaksa dipotong kerana jumlah tunggakan bil elektrik mencecah antara RM60,000 hingga RM70,000.
“Kita sudah berbincang, tetapi jumlah tunggakan terlalu besar dan mereka meminta sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah itu dibayar terlebih dahulu.
“Dalam keadaan akaun bank masih dibekukan dan tiada sumber kewangan, memang sukar untuk kami menjelaskan bayaran berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, hari ini.
Mohd. Zahid berkata, pihaknya berharap isu pembekuan akaun dapat diselesaikan selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari lalu supaya bayaran bil elektrik dapat dijelaskan.
Namun katanya, proses perundangan yang masih berjalan menyebabkan pihak pengurusan masih belum dapat mengakses dana bagi menyelesaikan tunggakan bil tersebut.
Menurut beliau, ketiadaan bekalan elektrik memberi kesan kepada sesi pembelajaran pelajar yang terpaksa dijalankan secara terhad.
“Pelajar masih belajar seperti biasa, tetapi keadaan memang agak mencabar kerana kemudahan elektrik sangat terhad.
“Kami cuba sedaya upaya memastikan pengajian mereka tetap berjalan walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.
Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak tuntutan 17 anggota keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan 14 bekas pelajarnya selaku plaintif terhadap ganti rugi trauma, kecederaan serta gangguan emosi selain tuntutan wang derma yang diperoleh pusat tahfiz itu daripada orang awam.
Pihak plaintif kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan wang derma berkenaan.
Peguam bela, Najib Zakaria yang mewakili Mohd. Zahid berkata, Mahkamah Tinggi ketika ini membenarkan perintah injunksi secara interim bagi mengekalkan pembekuan akaun bank yang mengandungi wang derma berkenaan.
Katanya, pihak defendan juga telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi membatalkan injunksi pembekuan wang derma tersebut dan pendengaran kes berhubung permohonan itu ditetapkan pada 2 Jun depan. – UTUSAN










