PETALING JAYA: Pelajar Malaysia di Jordan menyantuni seramai 100 pelarian dari Palestin bagi membolehkan mereka meraikan Ramadan seperti mana umat Islam di seluruh dunia.
Wakil pelajar, Nur Siti Khadijah Hamzah berkata, program bantuan Ramadan berjaya dianjurkan pada 7 Mac lalu hasil kolaborasi antara Yosh Jordan dan Applied Science University (ASU).
Katanya, program tersebut berlangsung di kampus ASU dengan penyertaan 100 pelarian Palestin yang dijemput khas untuk berbuka puasa bersama.
“Program ini bukan sekadar edaran makanan iftar tetapi turut diisi dengan pelbagai aktiviti interaksi dan permainan bersama kanak-kanak pelarian sebelum waktu berbuka.
“Aktiviti ini bertujuan menceriakan mereka dan memberikan ruang kegembiraan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya menerusi kenyataan media.
Nur Siti Khadijah berkata, program itu menglibatkan seramai seramai 27 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar tempatan dan pelajar Malaysia dari pelbagai universiti di Jordan.
“Suasana bertambah meriah apabila sesi permainan bersama kanak-kanak dimulakan. Gelak tawa kanak-kanak memenuhi ruang program, menggambarkan kegembiraan yang jarang mereka rasai.
“Para sukarelawan meluangkan masa berinteraksi, bermain dan bersembang dengan mereka sebelum masuk waktu berbuka puasa,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut menyebabkan kanak-kanak Palestin meluahkan perasaan dengan mengatakan bahawa makanan yang disediakan untuk berbuka adalah paling sedap pernah dirasainya.
“Ungkapan ringkas itu menjadi simbol kegembiraan dan penghargaan mereka terhadap usaha kecil yang dilakukan oleh para sukarelawan,” katanya.
Tambahnya, program tersebut membawa mesej besar tentang nilai kemanusiaan, solidariti dan kepedulian terhadap saudara yang memerlukan.
“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah secara individu tetapi juga untuk memperkukuhkan empati dan membantu mereka yang sedang diuji dengan kesusahan hidup,” katanya. – UTUSAN










