PUTRAJAYA: Pekerja gig kini boleh membuat aduan berkaitan pekerjaan mereka termasuk isu bayaran pendapatan, penggantungan akaun serta pelanggaran syarat perjanjian susulan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah menyediakan sistem eAduan yang akan menjadi platform utama bagi penerimaan aduan, pertanyaan atau maklum balas daripada pekerja gig.
“Melalui sistem ini, setiap aduan yang diterima akan disemak, direkod dan disalurkan kepada jabatan atau agensi berkaitan untuk diambil tindakan lanjut. Pekerja gig atau pengadu juga boleh membuat semakan status aduan melalui sistem ini pada bila-bila masa.
“Proses ini bertujuan memastikan pengurusan aduan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan teratur, dengan sasaran penyelesaian aduan dalam tempoh maksimum 21 hari bekerja, tertakluk kepada jenis dan kerumitan kes yang dilaporkan,” katanya menerusi sidang akhbar penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) di sini hari ini.
Sistem itu boleh dilayari oleh pekerja gig melalui laman web kementerian di pautan https://eaduan-gig.mohr.gov.my/.
Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, sekiranya berlaku pertikaian berkait terma dan syarat dalam pekerjaan pekerja gig, proses penyelesaian pertikaian boleh dilakukan melalui beberapa peringkat iaitu melalui mekanisme peringkat dalaman dan prosiding pendamaian di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM).
Jelasnya, sekiranya pertikaian tidak dapat diselesaikan di peringkat pendamaian, ia akan dirujuk ke Tribunal Pekerja Gig yang berfungsi untuk menjalankan prosiding dan mendengar pertikaian bagi memastikan pertikaian dapat diselesaikan secara profesional, bebas daripada pengaruh luar dan berdasarkan merit fakta serta undang-undang. – UTUSAN










