PBB digesa segera campur tangan tamatkan perang Iran - AS, Israel

PBB digesa segera campur tangan tamatkan perang Iran – AS, Israel

KITA tidak boleh membiarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel menggugat keselamatan dan keamanan dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa segera bersidang dan mengambil langkah konkrit bagi menghenti dan mengelakkan perang Iran-AS dan Israel merebak.

Menerusi kenyataan bersama, beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO berkata, tindakan ketenteraan oleh AS dan Israel itu dibuat tanpa justifikasi yang sah, menjejaskan prinsip teras Piagam PBB yang melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah sesebuah negara.

Mereka berkata, perlindungan terhadap orang awam serta kepatuhan kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa seharusnya kekal menjadi keutamaan.

“Serangan yang melanda Iran itu jelas tidak mengecualikan orang awam apabila terdapat laporan bahawa lebih 150 kanak-kanak telah terkorban,” katanya hari ini.

Kenyataan dikeluarkan bersama oleh Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar; wakil Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia, Charles Santiago; wakil Third World Network, Chee Yoke Ling; Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh dari Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin; wakil Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), Jismi Johari dan Meenakshi Raman dari Sahabat Alam Malaysia.

Menurut kenyataan itu, pembunuhan terancang yang menyasarkan pemimpin dan pegawai kanan Iran amat membimbangkan, terutama apabila ia dilakukan pada bulan suci Ramadan.

“Pembunuhan politik tidak boleh dijadikan kebiasaan sebagai instrumen pemerintahan negara kerana penerimaannya secara asasnya akan menggugat kestabilan hubungan antarabangsa dan meningkatkan kemungkinan konflik berterusan,” katanya.

Kumpulan berkenaan turut mengingatkan negara-negara besar supaya tidak memintas mekanisme keselamatan kolektif kerana ia melemahkan sistem antarabangsa.

“Pada masa yang sama, kerajaan Iran diseru supaya mengambil pendekatan diplomatik bagi mengurangkan ketegangan demi melindungi populasinya, sungguhpun ia berhak mempertahankan kedaulatannya di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×