PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa perkhidmatan kesihatan di hospital kerajaan tidak akan terjejas susulan pengumuman cuti tambahan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mana-mana pesakit yang mempunyai janji temu di klinik pakar atau pusat rawatan harian pada hari cuti umum itu akan diberikan tarikh baharu.
Beliau berkata, pengoperasian hospital dan klinik di bawah KKM tetap berjalan seperti biasa sepanjang tempoh cuti perayaan itu
“Petugas kesihatan yang sudah dijadualkan bertugas secara ‘on-call’ juga akan terus berada di hospital bagi memberikan perkhidmatan kepada pesakit.
“Selain itu, pemantauan terhadap situasi kesihatan awam akan terus dilakukan secara berterusan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di peringkat negeri dan kebangsaan bagi memastikan sebarang insiden yang berpotensi memberi impak kepada kesihatan awam dapat ditangani segera,” katanya selepas ditemui pada Program Kembara Beraya bersama Cik Era di IOI City Mall, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan pengumuman cuti am tambahan bagi sambutan Aidilfitri yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini. – UTUSAN










