NEWCASTLE: Pengendali Newcastle, Eddie Howe mengakui keputusan seri 1-1 ketika menentang Barcelona dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah sukar diterima walaupun pasukannya mempamerkan aksi cemerlang.
Dalam aksi di St James Park itu, Newcastle dilihat hampir membawa kelebihan tipis ke aksi timbal balik selepas Harvey Barnes menjaringkan gol pada minit ke-86 menerusi voli hasil hantaran lintang Jacob Murphy.
Namun kegembiraan penyokong tuan rumah bertukar kecewa apabila Malick Thiaw menjatuhkan Dani Olmo dalam kotak penalti pada minit keempat masa kecederaan, sekali gus menyaksikan Lamine Yamal tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol Aaron Ramsdale.
“Benar-benar sukar. Saya rasa kami bermain dengan sangat baik menentang pasukan yang sangat kuat. Kami mengekalkan intensiti permainan yang tinggi, sesuatu yang sukar dilakukan menentang mereka untuk tempoh yang lama.
“Detik di penghujung perlawanan memberi gambaran negatif, tetapi saya tidak mahu ia menenggelamkan 93 minit sebelum itu di mana kami bermain sangat baik ketika menentang gergasi Eropah seperti Barcelona,” kata Howe.
Skuad kendalian Howe kerap mengancam menerusi kepantasan Barnes, Anthony Elanga dan William Osula, tetapi beberapa peluang terbaik gagal dimanfaatkan.
Barcelona pula jarang menembusi benteng empat pertahanan Newcastle, dengan peluang terbaik hadir apabila Robert Lewandowski hampir menjaringkan gol tetapi percubaannya hasil hantaran Raphinha tersasar.
Bagaimanapun, jaringan penalti Yamal pada minit keenam masa kecederaan memastikan kedudukan masih seimbang menjelang aksi timbal balik di Sepanyol pada 18 Mac nanti. – AGENSI/UTUSAN










