Nenek didenda RM1,500, beri maklumat palsu daftar kelahiran cucu
KANGAR: Seorang nenek didenda RM1,500 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan identiti ibu kandung sebenar ketika mendaftarkan kelahiran cucunya lapan tahun lalu.
Tertuduh, Tan Kim Lean, 67, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Natasha Rizal.
Mengikut kertas pertuduhan, warga emas itu didakwa sengaja dan disedari mengemukakan maklumat palsu dalam butir-butir material semasa membuat permohonan daftar kelahiran atas nama Ragnar Lim Eric Dant.
Kesalahan tersebut dilakukan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Seri Sena di sini antara pukul 3 hingga 4 petang pada 12 Mac 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Terdahulu, peguam Azira Aziz yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya itu dikenakan denda pada kadar paling minimum atas faktor tidak bekerja, usia dan kesihatan.
“Tertuduh mempunyai lima anak, termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ini juga merupakan kesalahan pertama yang berlaku lapan tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN Malaysia, Azry Ahmad memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai peringatan kepada masyarakat memandangkan kes ini melibatkan dokumen keselamatan kerajaan.
Hakim, Nurul Natasha kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 dan tertuduh bakal berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Sementara itu, Pengarah JPN negeri, Madihah Muhammad berkata, proses menukar nama itu dilakukan tertuduh pada 2021 kerana adik kepada ibu kandung yang didaftarkan secara palsu sebagai ibu bayi terbabit mahu melangsungkan perkahwinan.
“Apa pun alasan, maklumat sebenar perlu diberikan. Selepas ini, JPN akan lebih giat melaksanakan aktiviti pendakwaan sekiranya berlaku pemalsuan maklumat supaya undang-undang dapat ditegakkan dan integriti dokumen sentiasa diyakini.
“Kita juga berharap masyarakat di luar sana memberikan maklumat yang tepat dan benar kerana dokumen yang kita keluarkan ini adalah dokumen rasmi kerajaan. Perkara ini perlu menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat di luar sana,” katanya. – UTUSAN









