GOMBAK: Tindakan disiplin terhadap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk penggantungan keahlian Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dibuat mengikut perlembagaan parti dan melalui proses yang adil.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan tersebut diputuskan Lembaga Disiplin parti selepas meneliti laporan lengkap serta memberi peluang kepada individu terlibat untuk membela diri.
Katanya, sebarang tindakan disiplin bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya diputuskan berdasarkan penelitian terhadap pelanggaran peraturan serta perlembagaan parti.
“Proses tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Disiplin yang menilai setiap kes berdasarkan laporan yang lengkap.
“Lembaga disiplin tidak bertindak sesuka hati. Mereka yang terbabit diberi ruang dan peluang untuk membela diri sebelum keputusan dibuat.
“Jadi dakwaan mengatakan ahli tidak boleh bersuara dalam parti adalah tidak benar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini.
Sebelum ini, Ronald digantung hak keahliannya dalam Bersatu di bawah Fasal 22.5 perlembagaan parti bagi tempoh dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas kenyataan Ronald yang mempersoalkan keputusan penggantungan keahliannya dan mencadangkan supaya beliau dipecat sahaja, Muhyiddin berkata, itu merupakan pandangan peribadi yang mungkin dipengaruhi rasa kecewa.
Namun tegasnya, keputusan berkaitan tindakan disiplin bukan dibuat oleh presiden atau pimpinan parti secara individu, sebaliknya ditentukan oleh Lembaga Disiplin berdasarkan fakta kes.
“Itu pandangan dia. Mungkin dia sedikit kecewa, jadi dia kata macam-macam.
“Ahli mempunyai hak untuk bersuara, tetapi ia mesti berpandukan aturan serta perlembagaan yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN










