KUALA LUMPUR: Pelakon, Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, 61, menyifatkan bayaran terlalu rendah yang ditawarkan kepadanya untuk sebuah drama aksi baru-baru ini sebagai ujian Allah.
Menurut pelakon yang popular dengan watak Detektif Lim dalam drama Gerak Khas itu disebabkan itu dia memilih untuk tidak berlaku sombong, sebaliknya menolak tawaran tersebut secara baik.
“Saya masih boleh bersabar, tolak tawaran itu dengan baik. Saya fikir positif, mungkin Allah sedang uji saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu Farid mendedahkan sebelum ini ditawarkan bayaran RM500 untuk watak jurulatih tarian singa membabitkan 38 babak dan penggambaran selama lima hari.
“Wakil produksi memberitahu bayaran itu adalah termasuk kos pengangkutan seperti tol dan minyak.
“Dalam masa sama katanya akan tempatkan saya satu bilik dengan tiga pelakon lain sepanjang penggambaran berlangsung dan hanya menyediakan sarapan dan makan malam untuk pelakon.
“Jujur memang saya ada terfikir kenapa begitu rendah sekali bayaran yang ditawarkan. Tapi saya fikir mungkin begitu cara mereka menilai saya,” kongsinya. – UTUSAN










