Melaka cipta sejarah pemasangan EV CKD pertama - Utusan Malaysia

Melaka cipta sejarah pemasangan EV CKD pertama

Ab Rauf Yusoh menunjukkan isyarat bagus selepas menaiki kereta elektrik MG S5 EV menjadi kenderaan EV pertama dipasang secara tempatan (CKD) di EPMB HICOM Pegoh, Alor Gajah hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka mencatat sejarah baharu dalam industri automotif negara apabila kereta elektrik MG S5 EV menjadi model kenderaan elektrik (EV) pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pemasangan kenderaan elektrik sepenuhnya itu oleh EP Manufacturing Berhad (EPMB) menunjukkan keupayaan syarikat tempatan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi di Melaka dalam mengendalikan teknologi automotif moden.

Menurut beliau, kejayaan tersebut membuktikan Melaka berpotensi menjadi hab pengeluaran kenderaan elektrik di negara ini selain menyokong pembangunan teknologi baharu dalam industri automotif.

“Ini menunjukkan keupayaan syarikat yang berada di Melaka dengan sumber manusia yang cekap mampu menzahirkan teknologi baharu serta menjadikan negeri ini sebagai hab kepada pengeluaran EV.

“Kerajaan negeri komited untuk terus menawarkan persekitaran pelaburan yang mesra perniagaan bagi menarik lebih banyak syarikat automotif dan teknologi hijau melabur di Melaka.

“Projek inland port yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat bakal menjadi pemangkin pertumbuhan industri automotif termasuk aktiviti pemasangan dan pengedaran kenderaan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pengeluaran pertama model MG S5 EV yang dipasang secara tempatan di EPMB HICOM Pegoh, Alor Gajah, hari ini.

Ab Rauf berkata, sebanyak 44,000 kereta elektrik didaftarkan pada tahun 2025 berbanding 21,789 unit pada 2024, sekali gus menunjukkan permintaan terhadap kenderaan elektrik meningkat dengan pantas.

Katanya, peningkatan itu selari dengan usaha kerajaan dalam menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik sebagai sebahagian daripada inisiatif mobiliti hijau dan pengurangan pelepasan karbon.

Katanya, pengeluaran MG S5 EV di Melaka dijangka bermula dengan kapasiti sekitar 120 unit hingga 180 unit sebulan, dengan jumlah pengeluaran tahunan dianggarkan antara 1,500 hingga 2,000 unit setahun.

“Model kenderaan elektrik ini dijangka mula dipasarkan di Malaysia pada tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi berkata, pemasangan CKD MG S5 EV menandakan komitmen jangka panjang syarikat untuk memperkukuh ekosistem kenderaan EV di Malaysia serta menyokong rantaian bekalan automotif tempatan.

Katanya, kerjasama dengan EPMB dijangka membantu pembangunan vendor tempatan melalui lokalisasi komponen dan pengembangan rantaian bekalan industri automotif negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN