MBPJ perkasa inisiatif bandar mesra anak yatim

MBPJ perkasa inisiatif bandar mesra anak yatim

MOHAMAD Zahri bergambar bersama golongan anak yatim di Majlis Iftar Warga Kerja MBPJ, di sini hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar mesra anak yatim terus diperkasa oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi pelaksanaan beberapa pelan tindakan yang memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan ekonomi penjagaan komuniti.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan pembangunan sosial bandar raya itu yang memberi penekanan kepada kesejahteraan komuniti khususnya kanak-kanak dan golongan memerlukan.

Katanya, MBPJ telah merangka tiga pelan tindakan utama bagi memperkukuh usaha tersebut termasuk pembangunan ekonomi penjagaan atau K-ekonomi.

“MBPJ menetapkan tiga pelan tindakan utama iaitu K-ekonomi atau ekonomi penjagaan, bandar mesra kanak-kanak dan penjagaan warga emas sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti di Petaling Jaya.

“K-ekonomi ini merangkumi aspek penjagaan kanak-kanak dan warga emas termasuk menyediakan kemudahan serta khidmat nasihat kepada komuniti,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Beliau menambah, pihaknya juga akan melaksanakan proses pemutihan terhadap rumah penjagaan bagi memastikan pengurusan pusat berkenaan lebih teratur dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Dalam masa yang sama, bagi rumah penjagaan ini, kita akan lakukan pemutihan kerana perkembangan pusat penjagaan semakin meningkat sejak kebelakangan ini,” katanya.

Menurutnya, perkembangan tersebut selari dengan perubahan demografi penduduk di Petaling Jaya yang menyaksikan peningkatan jumlah warga emas.

“Ketika ini kira-kira 12 peratus penduduk Petaling Jaya atau 800,000 orang terdiri daripada warga emas dan keadaan itu menuntut penyediaan kemudahan penjagaan yang lebih tersusun serta menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, MBPJ turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM60,000 kepada 150 anak yatim dan 100 keluarga kurang berkemampuan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kebajikan komuniti di bandar raya itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN