MBO Cinemas tutup tirai selepas 23 tahun beroperasi - Utusan Malaysia

MBO Cinemas tutup tirai selepas 23 tahun beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rangkaian pawagam tempatan, MBO Cinemas mengumumkan penamatan operasinya secara kekal selepas 23 tahun.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang menyatakan perjalanan panjang pawagam berkenaan kini telah sampai ke penghujungnya.

“Selepas bertahun-tahun penuh kenangan indah bersama para pelanggan, MBO Cinemas kini akan menghentikan operasinya secara kekal,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut syarikat itu, peluang untuk berkhidmat kepada para pelanggan selama lebih dua dekad merupakan satu penghormatan besar, selain berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada pengalaman sinematik rakyat Malaysia.

“Segala sorakan dan gelak tawa yang pernah bergema di dalam dewan tayangan hinggalah saat sunyi antara waktu tayangan, semuanya amat bermakna buat kami.

“Daripada kami di MBO Cinemas, terima kasih kerana memenuhi kerusi-kerusi kami dan juga hati kami,” katanya.

Terdahulu, MBO Cinemas pernah mengumumkan penutupan operasinya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020.

Bagaimanapun, rangkaian pawagam itu kembali beroperasi selepas aset dan pengurusannya diambil alih oleh Golden Screen Cinemas. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN