GUA MUSANG: Seorang lelaki dipercayai warga asing yang ditemukan mati dalam keadaan terbaring dengan kesan tikaman di dada kiri di tepi Jalan Lama Lojing, Pos Brooke, awal pagi semalam.
Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui kira-kira pukul 4.35 pagi selepas pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima panggilan daripada anggota bertugas di Pondok Polis Lojing yang memaklumkan penemuan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azlan Che Abdullah berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa terbaring di bahu jalan dengan kesan tusukan objek tajam pada bahagian dada kiri.
“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan dipercayai seorang warga asing,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azlan memberitahu, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Katanya, polis kini giat mengesan individu yang bertanggungjawab selain meneliti semua sudut termasuk kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” ujarnya.-UTUSAN









