KUALA LUMPUR: Pelakon, Tracie Sinidol mendedahkan pernah berdepan detik cemas apabila hilang penglihatan pada mata kiri sehingga mengalami buta sementara.
Tracie, 25, berkata kejadian itu berlaku selepas mata kirinya terkena pukulan bulu tangkis ketika bermain badminton pada 2024.
“Ketika terkena bulu tangkis, perkara terakhir yang saya nampak ialah seperti satu pancaran cahaya putih yang sangat terang.
“Saya sangat gementar kerana penglihatan mata kiri saya hilang sepenuhnya sehingga terfikir sama ada saya akan buta sebelah mata,” katanya.
Menurutnya, selepas mendapatkan rawatan di hospital, doktor mengesahkan terdapat kecederaan pada mata kirinya dan mengambil masa untuk sembuh.
Tracie berkongsi pengalaman itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa filem Malaikat Malam di sini, semalam.
Bagaimanapun, Tracie bersyukur kerana penglihatannya beransur pulih selepas kira-kira seminggu sebelum kembali sembuh sepenuhnya.
Katanya, pengalaman tersebut turut dimanfaatkan bagi menjayakan watak Ratna, seorang gadis muda yang buta dalam filem berkenaan.
“Ini pengalaman baharu dan sangat bermakna buat saya. Pada masa sama, saya berasa teruja tetapi gementar apabila menerima tawaran itu.
“Saya bimbang tidak dapat menyampaikan watak tersebut dengan baik kepada penonton kerana bukan mudah membawakan karakter seperti ini.
“Selalunya ketika berlakon kita menggunakan ‘eye contact’ dengan pelakon lain, tetapi kali ini saya perlu banyak bergantung kepada pendengaran,” katanya.
Tambah Tracie, kejadian itu juga memberi pengajaran besar kepadanya untuk sentiasa menghargai nikmat yang dikurniakan Tuhan.
“Pengalaman itu sangat menyentuh hati kerana selama ini ramai antara kita mungkin terlepas pandang nikmat yang dimiliki.
“Apabila sesuatu nikmat itu ditarik, barulah kita belajar untuk menghargainya. Pengalaman ini benar-benar mengajar saya erti bersyukur,” ujarnya.
Selain Tracie, filem Malaikat Malam yang bakal menemui penonton bermula 26 Mac ini diarahkan pengarah baharu, Nazifdin Nasrudin.
Filem berkenaan turut dibintangi barisan pelakon seperti Syafiq Kyle, Que Haidar, Amir Nafis dan Kodi Rasheed.-UTUSAN









