Masalah air di Kedah ketika raya berjaya diatasi - Utusan Malaysia

Masalah air di Kedah ketika raya berjaya diatasi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjaya mengurangkan aduan gangguan bekalan air menjelang musim perayaan hasil pelaksanaan pelan kontingensi yang dirangka sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, jumlah aduan diterima berkurang secara drastik berbanding sebelum ini terutama ketika sambutan hari raya.

“Alhamdulillah, tiga tahun kebelakangan ini menjelang musim perayaan, aduan tidak banyak seperti dahulu kerana kita sudah siapkan pelan kontingensi untuk mengatasi peningkatan penggunaan bekalan air,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi SADA berkata, pelan tersebut merangkumi penyediaan kemudahan tambahan termasuk tangki air, pam penggalak serta langkah pengurusan agihan yang lebih sistematik.

“Pelan itu sudah siap, kita ada tangki, pam dan sebagainya. Langkah yang dijadualkan itu juga dilaksanakan, jadi tidak banyak kedengaran aduan. Agihan juga sudah betul dan tekanan stabil. Kawasan yang tidak sampai bekalan, kita gunakan pam untuk menyalurkan air,” jelasnya.

Tambahnya, penggunaan lori tangki air kini hanya melibatkan beberapa lokasi tertentu yang jumlahnya jauh berkurangan berbanding sebelum ini.

“Pengagihan menggunakan lori hanya di dua atau tiga tempat sahaja, tidak sebanyak dahulu. Penggunaan penghantaran air juga berkurangan secara drastik,” katanya.

Selain itu, katanya, pengurangan penggunaan lori tangki turut memberi penjimatan kos yang ketara kepada kerajaan negeri berbanding terpaksa menyewa daripada pihak ketiga untuk menghantar bekalan air,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN