PETALING JAYA: Malaysia berjaya merekodkan jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara yang bernilai RM426.7 billion membabitkan pelbagai sektor ekonomi bagi sepanjang tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut merangkumi RM281.3 billion pelaburan diluluskan bagi sektor perkhidmatan, perkilangan (RM131.3 billion) dan RM14.2 billion untuk sektor-sektor Utama.
Katanya, nilai berkenaan melibatkan 8,390 projek diluluskan yang dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat.
“Pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.
“Jumlah pelaburan RM426.7 billion yang diluluskan ini menunjukkan peningkatan kira-kira 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pada masa sama, pelaburan asing melonjak sebanyak 20.9 peratus kepada RM207.1 billion. Ini mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas serta hala tuju ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Menurut Anwar, pencapaian tersebut adalah hasil ikhtiar bersepadu seluruh jentera kerajaan Madani dengan Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan (MIDA).
“Ia untuk terus mempergiatkan usaha bagi memastikan setiap pelaburan bukan sekadar diluluskan, tetapi direalisasikan dan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kemakmuran rakyat.
“Ini bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang kita laksanakan,” katanya.-UTUSAN










