Malaysia rekod 42.19 juta pelawat antarabangsa pada 2025 - Utusan Malaysia

Malaysia rekod 42.19 juta pelawat antarabangsa pada 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan ketibaan lebih 42 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2025, menjadikan ia angka tahunan tertinggi dalam sejarah negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Malaysia menerima sebanyak 42,196,892 pelawat antarabangsa pada tahun berkenaan.

Menurut beliau, jumlah itu meningkat 11.2 peratus berbanding 2024 selain mencatatkan kenaikan 20.4 peratus berbanding tempoh pra-pandemik pada 2019.

“Rekod baharu ini merupakan tanda keyakinan kukuh terhadap Malaysia sebagai
destinasi pilihan pelawat antarabangsa.

“Perkara ini mencerminkan usaha bersama kerajaan, industri dan rakyat dalam menghidupkan semula sektor pelancongan negara selepas pandemik,” katanya dalam kenyatan Laporan Kemajuan Kerja 2025 hari ini.

Tambah King Sing, sejak sekian lama, Singapura, Indonesia dan China kekal sebagai tiga pasaran sumber pelawat utama buat Malaysia dengan ketiga-tiganya mencatatkan rekod baharu pada 2025.

Katanya, perkara ini dapat dilihat melalui ketibaan pelawat dari Singapura yang buat pertama kali melepasi angka 20 juta dengan jumlah keseluruhan 21,076,783 orang, sekali gus kekal sebagai penyumbang terbesar pelawat antarabangsa ke Malaysia.

“Selain itu, jumlah ketibaan dari China mencapai 4,661,878 pelawat pada 2025. Ini mewakili
peningkatan 25.1 peratus berbanding 2024 dan 40 peratus lebih tinggi berbanding 2019.

“Buat pertama kali dalam sejarah, China mengatasi Indonesia sebagai pasaran sumber pelawat antarabangsa kedua terbesar Malaysia.

“Jumlah pelawat dari Indonesia juga mencapai rekod baharu dengan 4,266,358 pelawat pada 2025, meningkat 2.9 peratus berbanding 2024 dan hampir 10 peratus lebih tinggi berbanding 2019,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN