Malaysia gesa gencatan senjata tanpa syarat

Malaysia gesa gencatan senjata tanpa syarat

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Israel dan Amerika Syarikat (AS) melakukan gencatan senjata tanpa syarat serta-merta berikutan serangan besar-besaran dua negara itu terhadap Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengutuk keras serangan Israel dan AS terhadap Iran serta berpandangan tindakan ketenteran berterusan ke atas Iran adalah bertentangan dengan prinsip yang disepakati dunia.

Kata beliau, tindakan dua negara itu berisiko menyebabkan ketegangan dan ekaslasi lebih besar hingga menyebabkan ketidakstabilan serantau terutama di negara-negara teluk yang kebanyakan sudah diheret ke dalam perang itu.

“Tentunya sebagai negara bebas dan merdeka, Malaysia hanya mampu menyeru gencatan senjata berlaku tanpa syarat dengan serta merta dan kalau pun ada asas pertikaian, ia harus kembali ke meja rundingan secara konstruktif,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sebelum ini jelas mengikat negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, Israel satu-satunya negara anggota yang terus menerus melanggar ketetapan antarabangsa.

“Hari ini Iran, semalam Lubnan, sebelum ini Iraq, Syria dan pembataian terhadap umat serta rakyat Gaza, Palestin berterusan hingga kini. Sebab itu, kita tidak ada pilihan melainkan untuk menyatakan dengan tegas serta jelas bahawa tindakan ini adalah tindakan yang bertentangan dengan peraturan dunia dan harus dibantah dengan keras,” katanya.

Anwar turut menyeru negara-negara teluk untuk kembali bersatu dan melakukan rundingan bagi mempertahankan kebebasan serta kemerdekaan rantau mereka.

“Jika tidak, seperti yang boleh dijangka, giliran satu negara ke negara yang lain akan terus berlaku seperti mana yang pernah diungkapkan oleh beberapa pemimpin Israel dan yang terkini memberi amaran kepada pemerintah Turkiye bahawa mereka juga tidak terlepas daripada kemungkinan serangan Israel,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN