PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan sebanyak 30,722,672 ketibaan pelawat dari negara ASEAN dengan peningkatan hampir sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pencapaian ini menandakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berjaya mengekalkan kedudukan pelancongan serantau yang kukuh.
Menurutnya, India wajar dijadikan sebagai contoh penting apabila negara itu yang pertama kali melepasi satu juta pelawat ke Malaysia pada 2024 terus mencatatkan peningkatan pada 2025.
“Jumlah pelawat dari India meningkat kepada 1,565,194 pada 2025 iaitu naik 14.6 peratus sekali gus menjadikan ketibaan dari Asia Selatan melepasi dua juta pelawat buat pertama kali dengan 2,128,465 pelawat tahun lalu.
“Ketibaan pelawat dari Asia Tengah turut menunjukkan peningkatan kepada 75,312 orang pada 2025, hampir dua kali ganda berbanding kira-kira 37,000 pelawat pada 2019,” katanya dalam kenyatan Laporan Kemajuan Kerja 2025 hari ini.
Tambah King Sing, ketibaan pelawat dari Amerika Syarikat dan Kanada ke Malaysia mencatat peningkatan pada 2025, apabila jumlah pelawat dari Amerika Syarikat melebihi 330,000 orang.
Katanya, ketibaan dari Kanada pula mencapai 112,432 pelawat, sekali gus melepasi angka enam digit buat pertama kali dan menyertai kumpulan pasaran yang menyumbang lebih 100,000 pelawat setahun.
“Secara keseluruhan, 21 negara dan wilayah menyumbang lebih 100,000 pelawat ke Malaysia pada 2025, jumlah tertinggi pernah direkodkan.
“Manakala dari Eropah, Malaysia menerima hampir 1.5 juta pelawat pada tahun lalu. United Kingdom mencatat 429,974 pelawat, Perancis 228,173 pelawat manakala Jerman merekodkan rekod baharu sebanyak 188,928 pelawat ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN










