PETALING JAYA: Pelakon, Adam Corrie berkata, tanggapan bahawa dunia lakonan hanya dipenuhi kemewahan adalah tidak tepat kerana hanya mereka yang terlibat secara langsung memahami cabaran sebenar kerjaya tersebut.
Ujar Adam atau Adam Corrie Lee Abdullah, 57, kehidupan sebenar di set penggambaran tidak selalunya selesa, malah ada kalanya pelakon terpaksa makan di tepi jalan demi menyelesaikan tuntutan kerja.
“Ramai orang nampak dunia lakonan itu glamor, tetapi mereka yang berada di set sahaja tahu realitinya. Untuk menjadi pelakon bukan sekadar ada bakat, adab perlu dijaga dan disiplin masa mesti kuat,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Malah, Adam yang dikenali menerusi watak Dragon dalam filem KL Gangster itu berkata, jadual kerja yang tidak menentu memaksa pelakon dan kru sentiasa kental dan bersedia menghadapi pelbagai situasi.
“Kami bekerja tanpa mengira masa. Kadang-kadang makan pun tidak sempat memilih tempat. Ada masanya makan di tepi jalan, malah pernah juga hanya duduk di tepi longkang mengikut keadaan lokasi penggambaran ketika itu,” katanya.
Dalam masa sama, Adam berkata, pelakon juga perlu bersabar kerana tempoh menunggu sebelum memulakan penggambaran adakalanya mengambil masa yang lama.
Bagi memastikan keselesaan diri, beliau mengambil inisiatif membawa kelengkapan sendiri setiap kali berada di set.
“Menunggu babak kadang-kadang berjam-jam. Sebab itu saya buat persediaan sendiri seperti membawa kerusi lipat, kipas kecil, air minuman dan beberapa keperluan lain supaya lebih selesa sementara menunggu.
“Bukan kerana pihak produksi tidak menyediakan kemudahan, mereka tetap ada sediakan. Namun kadangkala keadaannya seadanya sahaja. Jika mahu lebih selesa, kita sendiri perlu bersedia,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sikap berdikari merupakan sebahagian daripada disiplin yang perlu ada dalam diri setiap penggiat seni.
Katanya, apa yang dilihat indah di layar sebenarnya lahir daripada kesabaran serta jerih perih yang jarang diketahui umum.
“Dalam dunia kerja seperti ini, berdikari juga sebahagian daripada disiplin. Di situlah kita belajar bahawa apa yang nampak glamor di layar, sebenarnya penuh dengan kesabaran di belakang tabir,” katanya. -UTUSAN










