MAHAR kecam sekatan menyeluruh Israel ke atas Gaza

MAHAR kecam sekatan menyeluruh Israel ke atas Gaza

TRAK sarat dengan bantuan kemanusiaan diletakkan di persimpangan Rafah sebelah Mesir, sementara menunggu untuk mendapatkan akses ke Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel yang mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza termasuk penutupan pintu sempadan Rafah.

Tindakan itu sekali gus menutup laluan bantuan kemanusiaan serta menghalang pergerakan petugas bantuan di saat jutaan penduduk awam amat bergantung kepada bekalan makanan, air dan ubat-ubatan dari luar.

MAHAR dalam satu kenyataan berkata, pengumuman penutupan pintu sempadan oleh Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) atas alasan membendung elemen pro-Iran di Israel merupakan satu tindakan provokatif.

“Tindakan ini dilihat sebagai satu bentuk hukuman kolektif terhadap rakyat Gaza susulan serangan balas Iran ke atas Israel semalam, ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Konflik kini dilihat semakin melebar apabila Israel bersama Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran ke atas pelbagai sasaran di Tehran dan wilayah lain di Iran,” katanya, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Iran pula telah memberi tindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Israel dan sasaran lain di rantau Teluk sehingga menyebabkan kerosakan serta kecederaan di beberapa lokasi.

Jelas MAHAR, eskalasi itu meningkatkan risiko peperangan serantau yang lebih luas serta memberi ancaman besar kepada keselamatan dan kestabilan orang awam di seluruh Asia Barat.

“Orang awam termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas terus menjadi mangsa utama dalam konflik yang semakin meruncing ini.

“Sekatan bantuan kemanusiaan di Gaza dan perluasan serangan ke Iran hanya akan meningkatkan penderitaan serta kehilangan nyawa,” katanya.

Sehubungan itu, MAHAR menggesa masyarakat antarabangsa dan pihak berkepentingan global untuk bertindak tegas bagi menghentikan pertumpahan darah serta memulihkan keamanan demi prinsip kemanusiaan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×