IPOH: Seorang juruelektrik terkejut apabila menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan muka berlumuran darah di dalam longkang di Taman Menglembu Impiana Adril di sini, hari ini.
Mayat lelaki tersebut dijumpai kira-kira pukul 11.20 pagi oleh Mani, 58, yang tinggal berhampiran lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi dan tinggal kira-kira 30 meter dari lokasi mayatnya ditemui.
Menurut Mani, dia menjumpai mayat mangsa ketika mahu memarkir kenderaannya di lokasi teduh bersebelahan longkang.
Katanya, kenderaan itu kemudian tersangkut pada satu objek kecil sebelum dia turun untuk memeriksanya dan terkejut apabila mendapati seorang lelaki dalam keadaan terlentang dalam longkang dengan muka berlumuran darah.
“Saya segera memaklumkan penemuan itu kepada rakan dan memintanya menghubungi polis. Saya tinggal tidak jauh dari lokasi, hanya selang beberapa rumah sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi memaklumkan mayat mangsa telah pun dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Siasatan sedang dijalankan dan tunggu laporan bedah siasat,” katanya. – UTUSAN










