Lelaki panjat tiang elektrik curi kabel ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki panjat tiang elektrik curi kabel ditahan

TANGKAP layar video aksi seorang lelaki yang memanjat tiang elektrik dan cuba memotong kabel dalam kejadian di Jelapang di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelaki yang tular memanjat tiang elektrik dipercayai cuba mencuri kabel dalam kejadian di Lorong Jelapang 32, Jelapang di sini, berjaya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian itu disedari seorang penduduk pada pukul 2 petang yang melihat suspek sedang memanjat tiang elektrik dan cuba memotong kabel Telekom Malaysia (TM).

Katanya, kejadian itu sempat dirakam pengadu berusia 43 tahun sebelum menghubungi ketua kampung Jelapang bagi memaklumkan perkara berkenaan.

“Tidak lama kemudian, ketua kampung tiba di tempat kejadian dan meminta suspek turun untuk menyerah diri sebelum ketua kampung menghubungi polis.

“Tangkapan telah dilakukan ke atas suspek berusia 49 tahun dan merampas barang kes termasuk satu unit alat pemotong wayar, satu unit gunting berwarna hitam, sebilah pisau dan satu unit pemutar skru,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, permohonan reman ke atas suspek akan dijalankan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi 47 saat memaparkan aksi berani dan nekad seorang lelaki memanjat tiang elektrik serta memotong kabel yang dipercayai berkaitan kegiatan mencuri kabel.

Tindakan tersebut mengundang pelbagai reaksi warga maya yang menyifatkannya sebagai berbahaya selain berani melanggar undang-undang kerana dilakukan pada waktu siang dan secara terbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN