Lelaki maut kebakaran cuba padam api, selamatkan motosikal

Lelaki maut kebakaran cuba padam api, selamatkan motosikal

KETUA Kampung, Ilias Ishak, 57, menunjukkan motosikal milik Allahyarham Mohd. Syaiful Akmal Abu Hassan yang cuba diselamatkanny dalam kebakaran di Kampung Pelubang, Jitra Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Mangsa yang maut di sebuah stor katering di Kampung Pelubang, Jitra di sini semalam dilihat berusaha memadam kebakaran di premis tersebut sendirian sebelum api marak.

Menceritakan detik-detik mencemaskan itu, saksi di lokasi kejadian, Osman Hamzah, 58, memberitahu, mangsa Mohd. Syaiful Akmal Abu Hassan, 37, turut merempuh masuk ke stor itu untuk menyelamatkan motosikalnya, namun gagal.

“Kejadian berlaku pantas, ketika itu saya berada di tempat kerja kira-kira 50 meter dan melulu ke lokasi untuk membantu serta menghalangnya daripada masuk ke dalam. Kemudian dia berlari keluar dalam keadaan melecur teruk, mungkin arwah rasa bersalah apabila stor itu terbakar dan cuba memadam api sendirian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang masih belum berkahwin rebah tidak jauh dari premis berkenaan setelah berjaya berlari keluar.

Sementara itu menurut salah seorang saudara mangsa, Hasnah Ahmad, 61, Allahyarham Mohd. Syaiful Akmal yang juga anak bongsu daripada empat beradik mendiami stor barangan katering majikannya itu.

“Memang arwah duduk di stor itu, jaga barang katering bosnya. Arwah seorang yang pendiam namun cekap dalam kerjanya. Pada Januari lepas masa anak kahwin dia yang menyiapkan khemah kenduri dan menghiasnya,” katanya.

Tambahnya, kehilangan arwah secara mengejut itu amat mendukakan anggota keluarganya apabila kakak kedua arwah, Jamilah, 54, turut menyaksikan kejadian kerana rumahnya tidak jauh dari stor itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, temubual dengan ahli keluarga mangsa mendapati dia sempat keluar dari stor, namun masuk semula untuk mengambil motosikalnya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN