YAN: Perselisihan faham menyebabkan seorang lelaki cedera selepas dipercayai ditikam di bahagian tangan oleh rakannya di tepi jalan di Singkir Badong, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam, mangsa berusia 34 tahun yang sedang menunggang motosikal dihampiri suspek berusia 41 tahun yang memarahinya kerana membaiki kerosakan saliran paip air masyarakat atau air bukit yang dibina penduduk kampung.
Suspek juga dikatakan berang kerana mangsa sering menuduhnya merosakkan paip tersebut serta tidak membenarkannya mengambil bekalan air di situ.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pertengkaran mereka bertukar ganas apabila suspek mengeluarkan sebilah pisau dan cuba menikam mangsa sebelum berlaku pergelutan.
“Dalam pergelutan itu mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan akibat terkena pisau yang dilibas suspek.
“Mangsa lari menyelamatkan diri dan meninggalkan motosikalnya sebelum melihat suspek mencabut paip petrol di motosikal itu lalu menyalakan api yang mengakibatkan kenderaan itu hangus terbakar,” katanya.
Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Yan, malam tadi.
Katanya, suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi di rumahnya di Kampung Singkir Darat serta polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan dalam kejadian itu.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan semakan lanjut dia mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah. Suspek kini dalam proses untuk direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324/435 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN










