Lelaki Bangladesh lemas, basikal jatuh dalam sungai - Utusan Malaysia

Lelaki Bangladesh lemas, basikal jatuh dalam sungai

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang terjatuh dalam sungai di Menglembu, Ipoh hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemukan lemas selepas basikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas lalu terjatuh ke dalam sungai di Laluan Kledang Timur 4, Taman Bandar Baru Menglembu, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 8.35 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada pihak polis, lelaki berusia 29 tahun itu ditemui lemas di dalam sungai oleh orang awam.

“Mangsa dipercayai menaiki basikal lalu terjatuh ke dalam sungai. Pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.

“Ketua operasi kemudiannya mengarahkan anggota turun ke sungai untuk mengambil mayat menggunakan pengusung dan tali untuk dibawa naik ke atas tebing,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, selepas pemeriksaan dijalankan oleh pihak polis dan pegawai perubatan terhadap mangsa, anggota bertugas membantu mengangkat mayat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang disertai oleh 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh itu tamat pada pukul 9.41 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN