PUTRAJAYA: Lebih 1,000 individu telah dikenakan tindakan perintah khidmat masyarakat susulan kesalahan berkaitan kebersihan awam setakat ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kebanyakan mereka ditahan sebelum didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman berkenaan sebagai langkah mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap aspek kebersihan.
“Kita akan susun fasa ke fasa hukuman khidmat masyarakat ini dan saya nampak memang ada impak yang ketara dari segi kebersihan awam,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ihya Ramadan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KPKT sebelum menyertai program Ihya Ramadan dan menunaikan solat Zohor secara berjemaah.
Bermula 1 Januari lalu, kerajaan melalui KPKT mula menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) susulan pindaan yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kerajaan berhasrat untuk melaksanakan beberapa langkah reformasi pembersihan awam bermula tahun hadapan bagi memperkukuh identiti tunggal pengurusan kebersihan negara.
Jelasnya, antara langkah yang dirancang termasuk pelaksanaan pembersihan pada waktu malam, penukaran kenderaan kutipan sampah kepada kenderaan elektrik (EV), pelaksanaan kerja ‘deep cleansing’ dan ‘road cleansing’ secara lebih menyeluruh.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPKT merancang untuk membangunkan Projek Residensi Rakyat (PRR) terbesar di negara ini yang melibatkan pembinaan sebanyak 1,319 unit kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. – UTUSAN










