PARIT: Gara-gara membuat laporan palsu berhubung kehilangan kad pengenalan, seorang pembantu gerai burger menerima padah apabila didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mohd. Azlan Mat Rahim, 40, juga berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan terhadap lelaki itu selepas Mohd. Azlan membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memberikan pengakuan secara lisan dan bertulis berkaitan jenayah curi di mana dia ketahui adalah palsu dengan niat menyebabkan pegawai penyiasat kes menjalankan siasatan menggunakan kuasa penyiasatan yang sah di sisi undang-undang.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di pejabat kaunter aduan Balai Polis Seri Iskandar, Seri Iskandar di dalam daerah Perak Tengah pada pukul 10.16 pagi, 2 Mac 2026.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Syukri Abdul Talib memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Mohd. Azlan sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela, Noor Shafarin Abdullah memohon hukuman lebih rendah atas alasan lelaki itu bekerja di gerai burger dengan pendapatan harian sekitar RM40.
“Selain itu, tertuduh yang mempunyai empat orang anak turut berdepan masalah kesihatan seperti tekanan darah rendah, kolesterol dan hipokalemia.
“Tertuduh hanya mampu membayar hukuman yang rendah dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.
Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN










