KUALA LUMPUR: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Datuk AC Mizal, 55, menyambut baik kemunculan lagu-lagu raya yang dihasilkan dengan citarasa muzik semasa.
Jelas AC atau Mizal Zaini, hal demikian membuktikan dunia muzik tempatan bergerak seiring peredaran zaman dan tidak berada di takuk lama.
“Dunia muzik berubah, jadi dalam penghasilan lagu, kita kena ikut peredaran semasa.
“Karya yang kita hasilkan perlu sesuai dengan citarasa orang zaman sekarang, kena ikut trend semasa,” katanya.
AC berkata demikian pada sidang media dan pelancaran single Mari Menari Raya, baru-baru ini.

Beliau mengulas tentang pandangan segelintir netizen yang menganggap lagu raya zaman sekarang tidak boleh menandingi lagu-lagu lama.
Anggota kumpulan 4U2C itu dalam masa yang sama menggalakkan penggiat muzik lama menghasilkan karya-karya baharu dan tidak terlalu selesa dengan lagu-lagu lama.
“Saya sendiri, yang sudah 36 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan tanah air ini, sentiasa berkeinginan untuk tampilkan karya baharu mengikut peredaran zaman.
“Masyarakat perlu sokong penggiat seni lama yang sentiasa mengikut perubahan zaman. Barulah dunia seni kita hidup,” ujarnya lagi.

Mengulas tentang Mari Menari Raya, AC melayangkan pujian terhadap rakan duetnya iaitu JessC yang berusaha menghasilkan lagu raya meskipun dia berbeza bangsa dan agama.
“Ini antara sebab yang membuatkan saya terima pelawaannya untuk berduet dalam lagu Mari Menari Raya.
“Dia berbangsa Cina tetapi meraikan perayaan kita dengan usahanha menghasilkan lagu raya.
“Kita kena sokong usahanya. Lagu ini mengajak kita bergembira di Hari Raya, saya harap ia diterima baik pendengar,” ujarnya. – UTUSAN










