BUKIT MERTAJAM : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan 100 buah koperasi di seluruh negara dapat menjadi Self Collection Point atau pusat pengambilan barang sendiri oleh platform e-dagang, Shopee menjelang hujung tahun ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu bertujuan memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara lebih inklusif termasuk oleh komuniti yang berada di kawasan luar bandar.
Sehingga kini katanya, sebanyak 25 premis koperasi di seluruh negara termasuk dua di Pulau Pinang telah bekerjasama dengan Shopee sebagai Self Collection Point manakala 61 buah koperasi di seluruh negara lagi telah menyatakan minat untuk menyertai inisiatif berkenaan.
“Di Pulau Pinang, terdapat sekitar 819 koperasi dengan 171,713 anggota melibatkan nilai aset berjumlah RM1.29 bilion. Ia sekali gus mencerminkan potensi besar gerakan koperasi di negeri ini untuk terus diperkasakan dalam menyokong pembangunan ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Self Collection Point Shopee Pertama di Pulau Pinang di Koperasi Politeknik Seberang Perai (KopPSP) Berhad di sini, hari ini.
Inisiatif untuk menjadikan koperasi sebagai ‘Self Collection Centre’ itu adalah kerjasama antara KUSKOP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Shopee Malaysia dengan dijayakan melalui rakan logistik pihak ketiga, SPX Express.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Din berkata, kerjasama strategik antara Shopee dengan KUSKOP merupakan satu langkah penting untuk memperluaskan akses e-dagang kepada rakyat Malaysia.
“Shopee berbangga dapat bekerjasama memperkasakan kedai koperasi sebagai pusat pengambilan bungkusan, sekali gus menyokong keusahawanan tempatan serta pertumbuhan komuniti,” ujar beliau.-UTUSAN










