BUKIT MERTAJAM : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini memperuntukkan sebanyak RM1.03 juta untuk disalurkan kepada koperasi-koperasi dan komuniti di seluruh Pulau Pinang.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat di negara ini.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan usahawan-usahawan PKS (perusahaan kecil dan sederhana), saya tahu kerajaan perlu bertindak lebih pantas dalam menangani isu-isu geopolitik yang tidak menentu ketika ini.
“Maka, atas dasar itulah pihak kementerian (KUSKOP) telah mengumumkan pelbagai dana dan bantuan untuk PKS ini agar mereka mampu untuk terus bersaing,” katanya.
Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata demikian ketika berucap pada program Coop Talk: Menteri dan Komuniti Bukit Mertajam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sejahtera di sini, malam ini.
Daripada jumlah peruntukan tersebut, pembiayaan Tabung Modal Pusingan berjumlah RM786,420 akan disalurkan kepada Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad bagi memperkukuh aktiviti ekonomi koperasi serta meningkatkan keupayaan menjana pendapatan dalam kalangan anggota.
Selain itu, bantuan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) berjumlah RM200,000 turut diberikan kepada Koperasi Kariah Masjid Ibadur Rahman Kepala Batas Pulau Pinang Berhad bagi memperkasa pembangunan rantaian bekalan dan aktiviti ekonomi komuniti.
Pada majlis yang sama, Steven turut menyampaikan sumbangan berbentuk bakul makanan kepada 50 pelajar asnaf dan pekerja am sekolah bernilai RM5,000 selain bantuan wang tunai serta dua unit televisyen kepada SMK Taman Sejahtera bagi menyokong kemudahan pembelajaran di sekolah itu.
Sementara itu, bagi menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang Aidilfitri pula, beliau turut menyampaikan sumbangan raya sebanyak RM33,000 kepada 21 koperasi masjid aktif di Pulau Pinang serta 12 koperasi sekolah di Parlimen Bukit Mertajam bagi membantu ahli yang terlibat untuk membuat persiapan bagi menyambut hari raya.-UTUSAN










