KUSKOP lulus pembiayaan Skim Barakat bernilai RM2.5 juta di Pulau Pinang

KUSKOP lulus pembiayaan Skim Barakat bernilai RM2.5 juta di Pulau Pinang

STEVEN Sim Chee Keong (dua dari kanan) ketika meluangkan masa meninjau perkembangan perniagaan di Uptown Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM2.5 juta kepada usahawan mikro di Pulau Pinang menerusi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (Barakat) setakat hari ini.

KUSKOP dalam satu kenyataan memaklumkan, sejak permohonan untuk mendapatkan pembiayaan skim itu dibuka sehingga kini, sebanyak 357 permohonan telah diterima khususnya daripada kalangan para peniaga bazar serta peniaga kecil di negeri ini.

Menurut kementerian itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini juga telah ‘turun padang’ ke Uptown Bandar Perda di Bukit Mertajam bagi bertemu serta menyantuni para penerima pembiayaan Skim Barakat.

Katanya, selain meninjau sendiri perkembangan perniagaan di kawasan tersebut, Steven turut menyerahkan cek cura kepada tiga orang peniaga sebagai simbolik penyaluran pembiayaan Skim Barakat.

“Mohd Rahim Ibrahim yang berniaga pakaian jeans selama 11 tahun memperoleh pembiayaan sebanyak RM30,000 bagi memperkukuh bekalan stok sempena musim perayaan manakala Mohamad Afif Mohamad Salim yang berniaga pakaian selama enam tahun pula turut menerima pembiayaan dengan jumlah yang sama bagi menambah stok pakaian miliknya.

“Turut menerima pembiayaan sebanyak RM30,000 itu ialah Moktar Daud yang mengendalikan perniagaan cermin mata selama 20 tahun  sekali gus membantu beliau untuk menambah stok dan memenuhi permintaan pelanggan menjelang Syawal nanti,” katanya.

Menurut KUSKOP, sempena kunjungan itu juga, Steven turut memberikan jaminan bahawa kementerian itu bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) akan memastikan proses birokrasi untuk permohonan skim berkenaan diminimumkan.

Katanya, dalam hal ini, penyaluran dana akan dipercepat untuk memastikan mereka dapat memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

“Di bawah Skim Barakat ini, pembiayaan sehingga RM30,000 ditawarkan dengan kadar keuntungan sebanyak tiga peratus setahun dan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.

“Pemohon dikecualikan daripada simpanan, namun, caruman Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) adalah diwajibkan,” katanya yang memberitahu bahawa permohonan bagi skim tersebut akan dibuka sehingga 15 Mac ini. 

Tambah KUSKOP, peniaga yang memerlukan bantuan perniagaan digesa supaya merebut peluang itu dan memohon sebelum tarikh tutup kerana Skim Barakat terbuka kepada bumiputera serta warga tempatan yang berusia antara 18 hingga 65 tahun. 

“Usahawan TEKUN sedia ada juga layak untuk memohon skim ini, tertakluk kepada syarat jumlah keseluruhan pembiayaan yang tidak melebihi RM100,000,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN