Krisis Asia Barat, KPKT pantau pastikan sektor perumahan tidak terjejas

Krisis Asia Barat, KPKT pantau pastikan sektor perumahan tidak terjejas

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memantau rapi perkembangan krisis di Asia Barat termasuk gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz yang menyalurkan kira-kira 25 peratus bekalan minyak dan gas dunia, bagi memastikan sektor perumahan serta pembinaan negara tidak terjejas.

Menterinya KPKT, Nga Kor Ming berkata, situasi yang berlaku itu menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global serta peningkatan kos logistik antarabangsa.

“Kita lihat perkembangan berita terkini di mana pihak tentera Iran telah cuba mengunci Selat Hormuz yang menghubungkan 25 peratus bekalan minyak dan gas dunia.

“Jadi ini penting, kita kena pastikan supaya dari segi ‘transport costing’ itu tidak menjejaskan sektor perumahan dan juga pembinaan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ihya Ramadan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Terdahulu, Iran dilaporkan menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan bersama yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negaranya.

Syarikat minyak utama dan rumah dagangan telah menangguhkan penghantaran minyak mentah, bahan api, dan gas asli cecair (LNG), dengan imej satelit menunjukkan kapal-kapal berkumpul berhampiran pelabuhan besar, seperti Fujairah di Emiriah Arab Bersatu, dan tidak bergerak melalui Selat Hormuz.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, sektor hartanah negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah transaksi pada tahun 2025 mencecah RM240 bilion tertinggi dalam tempoh lebih 10 tahun.

“Sektor hartanah kita bukan sahaja telah pulih sepenuhnya malahan, ia kini menjadi enjin pertumbuhan ekonomi yang saya sifatkan sebagai tiang seri ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN