GERIK: Kementerian Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan pencapaian beberapa projek naik taraf di Kampung Kuak Hulu di Pengkalan Hulu di sini menerusi program Kampung Angkat Madani yang dilaksanakan oleh kementerian itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara projek itu ialah pembinaan dewan terbuka SK Kuak Hulu yang membabitkan kos RM149,500, manakala gelanggang futsal siap dinaik taraf dengan kos RM200,000.
“Saya bagi contoh untuk Kampung Kuak Hulu ini sahaja, banyak projek yang membabitkan komuniti telah pun selesai seperti dewan sekolah dan gelanggang futsal.
“Begitu juga dengan pembaikan cerun, jambatan dan beberapa projek lagi yang saya fikir itu semua telah mendapat manfaat sepenuhnya oleh masyarakat setempat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa Santuni Madani Menteri Pendidikan di SK Kuak Hulu, di sini semalam.
Sebanyak 22 projek naik taraf di bawah program Kampung Angkat Madani di Kampung Kuak Hulu, berjaya disiapkan setakat bulan ini.
Projek-projek berkenaan ialah sebahagian daripada 32 projek penambahbaikan yang dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri bersama beberapa lagi jabatan kerajaan membabitkan nilai keseluruhan lebih RM20 juta.
Gelanggang futsal yang telah selesai dinaik taraf itu berusia hampir 18 tahun.
KPM melihat kejayaan pembinaan dewan terbuka di SK Kuak Hulu penting kerana kemudahan itu membolehkan murid-murid menjalankan aktiviti perhimpunan, program sekolah, dan aktiviti kokurikulum dengan lebih efektif tanpa perlu bimbang akan faktor cuaca. – UTUSAN










