KPKM cadang naik, perluas subsidi diesel sektor pertanian

KPKM cadang naik, perluas subsidi diesel sektor pertanian

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencadangkan agar subsidi diesel dinaikkan dan diperluaskan kepada semua pemain sektor pertanian di negara ini termasuk nelayan, petani dan pesawah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan itu dikemukakan pihaknya pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok untuk dibincangkan dan diputuskan.

“Cadangan itu termasuk memperluaskan bantuan bahan api diesel kepada semua pemain sektor pertanian, nelayan dan pesawah sama ada secara kad subsidi minyak diesel atau pemberian one-off,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara RMK-13 Bersama Pemain Industri, di sini hari ini.

Katanya, cadangan itu dikemukakan sebagai langkah segera untuk mengurangkan tekanan kos operasi sektor pengeluaran makanan negara susulan krisis di Tinur Tengah.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan juga sedang meneliti langkah segera bagi menghadapi kemungkinan kenaikan harga baja susulan krisis berkenaan.

Menurutnya, baja adalah input penting dalam semua sektor pertanian dan ia boleh memberi kesan besar kepada penanam padi serta pengusaha sayur jika berlaku kenaikan harga.

Selain itu, Mohamad berkata, kerajaan turut meneliti sumber alternatif bagi import baja susulan sekatan eksport oleh China.

“Kami turut menerima tawaran bekalan dari Rusia bagi pembekalan baja. Negara itu turut menawarkan bekalan dan perbincangan lanjut akan dilakukan oleh pegawai kementerian bagi menentukan harga dan syarat yang sesuai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN